Bulan Rejab
tahun kelima sebelum hijrah telah menyaksikan dua peristiwa dukacita dalam
hidup Rasulullah SAW. Peristiwa tersebut ialah:
1)
Kewafatan isteri baginda iaitu Siti Khadijah.
Siti
Khadijah merupakan orang yang banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi
membantu dakwah Nabi SAW dalam mengembangkan Islam.
2) Kewafatan bapa
saudara baginda iaitu Abu Talib
Abu Talib adalah orang yang memelihara nabi selepas kematian
datuk Nabi. Abu Talib merupakan pembesar Mekah dan bertindak melindungi Nabi
dari diganggu oleh golongan kafir Quraisy.
Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan
Baginda. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah sering mendapat
gangguan daripada orang kafir Quraisy.
Baginda mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman.
Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di
Taif juga Rasulullah turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di
sana.
Maka Rasulullah
kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah ketika itu cukup
berat dan melihatkan keadaan Baginda itu, Allah s.w.t memerintahkan Jibril
membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.
Peristiwa itu
dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Israk bermakna
perjalanan Nabi Muhammad pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke
Masjidil Aqsa di Palestin dalam tempoh semalaman saja. Manakala Mikraj
pula bermaksud perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Jelas dengan
kekuasaan Allah, Dia berkuasa ‘membenarkan’ Baginda diangkat ke langit untuk
bertemu-Nya dalam masa yang teramat singkat.
Sebelum itu, dada
Rasulullah dibedah oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda dicuci
dengan air zamzam kemudian dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan
membisikkan was-wasnya.
Selepas
pembedahan itu, bermulalah Israk dan Mikraj baginda dengan menaiki sejenis
binatang yang dinamakan Buraq.
Dalam sebuah
hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya, Rasulullah
bersabda yang bermaksud:
“Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi.”
Baginda bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”
Semasa perjalanan
dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi Malaikat Jibrail
dan Israfil.
Apabila tiba di
tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril
mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu
tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina serta Baitul-Laham yakni
tempat Nabi Isa dilahirkan.
Baginda kemudian
naik pula ke langit sampai ke Sidratul Muntaha sehingga ke Mustawa dan sampai
di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.
Selepas itu
Baginda kembali semula ke Makkah. Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa
misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.
Ia menjadi
permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam.
Daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “…(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang… lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurang kan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga ting gal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: ‘Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.’” (Hadis riwayat Bukhari)
Peristiwa
menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Ia
memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda, sekali gus menjadi cerminan buat
umatnya pada masa akan datang.
Sememangnya
peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan
keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit
dan bumi.
Hikmah yang
terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai
tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan
ibadah kepada Allah.