Social Icons

twitterfacebookgoogle plusrss feedemail

9 December 2012

Pemurahnya Allah...


RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Solat berjemaah lebih afdal (utama) daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” – (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pemurahnya Allah SWT yang menawarkan ganjaran berlipat kali ganda menerusi solat berjemaah untuk direbut hamba-Nya. Mukmin yang menginsafi betapa ganjaran bernilai itu adalah antara anugerah Allah yang terbesar, akan sentiasa menghargai dan memburu kesempatan untuk solat fardu berjemaah khususnya di masjid, malah terlepasnya peluang solat berjemaah dirasakannya sebagai satu kerugian.

Diriwayatkan bahawa Ubaidullah bin Umar al-Qawariri iaitu guru kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim berkata bahawa dia (Ubaidullah) tidak pernah ketinggalan solat Isyak berjemaah. Tetapi pada satu malam datang seorang tetamu ke rumahnya menyebabkan dia ketinggalan berjemaah Isyak disebabkan sibuk melayani tetamunya.

Sebaik tetamunya pulang, dia pun bergegas ke masjid di Basrah, didapati semua orang telah menunaikan solat Isyak dan masjid telah ditutup, lalu dia balik ke rumah dengan perasaan hampa.

Oleh kerana hadis Nabi SAW menjelaskan bahawa solat berjemaah itu ganjarannya 27 kali ganda, maka beliau pun sembahyang Isyak 27 kali.

Beliau lalu tidur dan bermimpi seolah-olah bersama satu kaum yang sedang mengembara dengan menunggang kuda tetapi dia tidak dapat mengekori orang lain. Salah seorang dari mereka menoleh ke belakang kepadanya, lalu memintanya tidak memenatkan kudanya kerana dia tidak akan mampu mengikuti kaum itu.

Ubaidullah bertanya kenapa. Lelaki itu menjawab kerana mereka solat Isyak berjemaah, sedangkan dia solat bersendirian (ternyata walaupun melakukan 27 kali solat Isyak bersendirian tidak sama nilainya dengan sekali solat Isyak berjemaah). Tidak lama kemudian Ubaidullah terjaga dalam keadaan sedih. Lalu dia memohon pertolongan dan taufik daripada Allah SWT.
Anugerah Allah SWT terhadap orang yang solat berjemaah bermula daripada terpautnya hati seseorang hamba Allah dengan masjid, disusuli dengan langkahnya menuju ke masjid kerana keinginan solat berjemaah hinggalah selesai solat dan kembali ke rumah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa ada tujuh golongan manusia yang Allah akan tempatkan mereka di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya (pada hari kiamat). Salah satu dari tujuh golongan berkenaan ialah lelaki (termasuk wanita) yang hatinya (sentiasa) terikat dengan masjid.

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan sabda Nabi SAW itu menyatakan: “Maksudnya ialah hatinya sentiasa mengingati/merindui masjid dan beristiqamah pergi ke masjid kerana solat berjemaah. Ia bukan bermaksud berterusan duduk di dalam masjid.

Kelebihan yang diperoleh oleh sesiapa yang beristiqamah ke masjid untuk solat berjemaah dikurniakan Allah kerana masjid adalah rumah Allah. Rumah bagi setiap yang bertakwa. Adalah satu kelaziman bagi orang yang diziarahi akan menghormati orang yang bertandang. Maka, cuba bayangkan bagaimana penghormatan yang akan kita peroleh daripada Pencipta alam semesta ini iaitu Allah SWT yang Maha Mulia lagi Maha Besar.

Dalam hadis lain dinyatakan bahawa Allah SWT berasa takjub dengan solat berjemaah seperti sabda Nabi SAW: “Daripada Abdullah bin Umar ra., katanya: Satu hari saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah takjub (kagum) dengan solat yang didirikan secara berjemaah”. – (Hadis riwayat Ahmad).

Beruntung dan berbahagia sungguh seorang mukmin yang melakukan amalan di mana Allah sendiri berasa kagum dan takjub terhadap amalan berkenaan.

Dengan solat berjemaah di masjid, mudah-mudahan pelbagai ganjaran dapat diraih Muslim, bukan cuma ganjaran 27 kali ganda, tetapi ditambah lagi dengan kurniaan Allah yang besar lantaran memakmurkan rumah-Nya seperti Nabi SAW bersabda: “Barang siapa pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang (untuk beribadah/solat berjemaah), Allah akan menyediakan untuknya satu tempat tinggal di syurga setiap kali ia pergi pada waktu pagi atau petang (sentiasa tersedia hal yang sama).” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdan


7 December 2012

Pentingnya Solat Berjamaah

Solat berjamaah adalah satu tuntutan dalam Islam. Nabi telah mengajar kita tentang pentingnya menunaikan solat berjamaah ini. Walaupun dalam keadaan perang sekalipun, solat berjamaah tetap menjadi tuntutan seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran ayat 102 surah an-Nisa yang maksudnya..

Dan apabila engkau (Muhammad) berada di kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak daripada mereka berdiri (mendirikan solat) bersama-sama mu. Dan hendaklah mereka memegang senjata mereka. Maka tatkala mereka sujud, hendaklah mereka berada di belakang kamu, dan datanglah satu kumpulan lain yang belum solat, lalu hendaklah mereka solat bersamamu..

Jika dalam keadaan perang pun tuntutan solat berjamaah amat dititik beratkan, inikan pula kita yang hidup dalam keadaan aman dan damai. Terlalu banyak keistimewaan solat secara berjamaah yang telah dinyatakan dalam hadis-hadis nabi. Kita akan bincangkan tentang kelebihan solat berjamaah ini pada masa depan.. InSya Allah.



Jika semua umat Islam tahu kepentingan dan kelebihan solat berjamaah pasti tidak berlaku promosi begini..




4 December 2012

Syarat Sah Solat Berjamaah

Seperti ibadah-ibadah khusus yang lain, solat berjamaah juga mempunyai syarat-syarat yang mesti dipatuhi agar ibadah berjamaah itu sah dan diterima oleh Allah.

Syarat sah solat berjamaah itu ialah:


  • Niat mengikut imam bagi makmum.
  • Takbiratul ihram makmum tidak mendahului takbiratul ihram imam.
  • Makmum tidak mendahului atau terlalu lambat mengikut pergerakan atau perlakuan imam.
  • Makmum mengetahui pergerakan imam.
  • Tiada sekatan atau penghalang antara makmum dan imam.
*Nota ini diambil dari buku teks Pendidikan Islam Tahun 5

2 December 2012

Kedudukan Imam dan Makmum Dalam Solat Berjamaah

Situasi 1 : Imam lelaki dengan seorang makmum lelaki


Situasi 2 : Imam perempuan dengan seorang makmum perempuan




Situasi 3 : Imam lelaki dengan beberapa makmum lelaki.


Situasi 4 : Imam perempuan dengan beberapa makmum perempuan. Imam berada ditengah-tengah saf.




Situasi 5 : Imam lelaki dengan seorang makmum lelaki dewasa, makmum kanak-kanak lelaki, makmum perempuan dewasa dan makmum  kanak-kanak perempuan.


Situasi 6 : Imam lelaki dengan seorang makmum lelaki dewasa, makmum kanak-kanak lelaki dan makmum  kanak-kanak perempuan.




Perlu diingat bahawa perempuan hanya boleh menjadi imam kepada jamaah perempuan sahaja.


16 November 2012

Lafaz Niat solat Sendirian

Sebelum ini kita telah melihat lafaz niat solat berjamaah. Sudahkah anda dapat membezakannya dengan lafaz niat solat sendirian. Jika anda belum dapat membezakannya, mari kita lihat panduan lafaz niat solat sendirian yang diterangkan dalam video di bawah.



Ustaz harap anda lebih jelas perbezaan niat antra kedua jenis solat ini.

Lafaz Niat Solat Berjamaah

Salah satu daripada syarat sah solat berjamaah ialah berniat mengikut imam atau menjadi imam. Imam mesti berniat untuk menjadi imam manakala makmum berniat sebagai makmum.

Mari kita lihat contoh lafaz niat solat zohor yang dilakukan secara berjamaah.


Dapatkah anda mengesan perbezaan lafaz niat solat berjamaah dengan lafaz niat solat bersendirian? Jika anda dapat jawapannya, sila kongsikan bersama sahabat yang lain di ruangan komen.

11 November 2012

Kepada Ibu dan Ayah...


Ibu dan ayah yang membaca blog ustaz... Marilah kita usahakan agar anak-anak kita menjadi generasi yang cintakan solat.. Kita tahu solat itu tiang agama. Jangan hendaknya anak-anak kita turut serta di kalangan orang yang meuntuhkan tiang agama itu. Ayuh ayah dan ibu.. andainya anak kita hari ini dan akan datang adalah anak yang cintakan solat, Insya-Allah saya yakin dan percaya anak-anak kita ini mampu untuk membantu kita bila kita berhadapan dengan Rabbul Izzati kelak. Apa lagi yang boleh kita harapkan selain dari amal, sedekah, dan DOA ANAK YANG SOLEH.....

Solatlah Anak-Anak Murid ku...








Bahan KSSR Pendidikan Islam

Hukum-Hukum Dalam Solat Berjamaah

1 November 2012

Pengertian Solat Berjamaah

Dapatkah anda membaca pengertian solat berjamaah di atas? Jika ya, ustaz ucapkan tahniah kerana dapat membaca dalam tulisan Jawi. 

Apakah yang anda faham dari pengertian solat berjamaah di atas?

Perkara pertama yang perlu kita tumpukan dalam pengertian tersebut ialah "dilakukan dua orang atau lebih". Maknanya, solat berjamaah itu dikira apabila melibatkan sekurang-kurangnya dua orang. Jika lebih adalah lebih baik. 

Perkara kedua, "secara bersama" memberi maksud jika ada dua orang yang solat, seorang akan menjadi imam dan seorang lagi menjadi makmum. Jika ramai, seorang menjadi imam dan yang lainnya akan menjadi makmum. Solat tidak dikira berjamaah jika ada ramai orang tetapi masing-masing melakukan solat secara sendirian.

Perkara ketiga, "niat berjamaah" perlu betul seperti yang dituntut dalam solat berjamaah. Imam akan berniah menjadi imam manakala makmum pula berniat sebagai makmum.

Jika ada pertanyaan tentang pengertian solat berjamaah, bolehlah ajukan melalui ruang komen di bawah.



1 October 2012

Hantar Fail Tugasan Secara Online

Tugasan yang memerlukan murid muat naik fail boleh ke pautan berikut. MUAT NAIK FAIL

Kuiz : Sejarah Solat fardu disyariatkan

Sebelum menjawab soalan di bawah pastikan anda telah membaca nota berkaitan. Jika belum.. sila KLIK DI SINI untuk membaca.

Soalan 1
Pada tahun berapakah solat fardu telah disyariatkan?

Soalan 2
Perintah solat diterima oleh Rasulullah SAW ketika peristiwa.....

Soalan 3
Berapakah bilangan solat fardu yang diterima pada peringkat awal?

Soalan 4
Mendirikan solat merupakan salah satu dari Rukun ......

Soalan 5
Rasulullah SAW menerima perintah solat terus daripada Allah. Ini menunjukkan bahawa .....



Tahniah jika anda berjaya menjawab kesemua soalan dengan betul. Bagi yang gagal, cuba anda baca semula nota ustaz. Pasti anda akan bertemu jawapannya.

30 September 2012

Sejarah solat fardu disyariatkan.


Bulan Rejab tahun kelima sebelum hijrah telah menyaksikan dua peristiwa dukacita dalam hidup Rasulullah SAW. Peristiwa tersebut ialah:

1) Kewafatan isteri baginda iaitu Siti Khadijah.
Siti Khadijah merupakan orang yang banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi membantu dakwah Nabi SAW dalam mengembangkan Islam.

2) Kewafatan bapa saudara baginda iaitu Abu Talib
Abu Talib adalah orang yang memelihara nabi selepas kematian datuk Nabi. Abu Talib merupakan pembesar Mekah dan bertindak melindungi Nabi dari diganggu oleh golongan kafir Quraisy.

Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan Baginda. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy.
Baginda mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di Taif juga Rasulullah turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di sana.

Maka Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah ketika itu cukup berat dan melihatkan keadaan Baginda itu, Allah s.w.t memerintahkan Jibril membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.

Peristiwa itu dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dalam tempoh semalaman saja. Manakala Mikraj pula bermaksud perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Jelas dengan kekuasaan Allah, Dia berkuasa ‘membenarkan’ Baginda diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang teramat singkat.

Sebelum itu, dada Rasulullah dibedah oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda dicuci dengan air zamzam kemudian dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.

Selepas pembedahan itu, bermulalah Israk dan Mikraj baginda dengan menaiki sejenis binatang yang dinamakan Buraq.

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: 
“Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi.”

Baginda bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis.”

Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi Malaikat Jibrail dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina serta Baitul-Laham yakni tempat Nabi Isa dilahirkan.
Baginda kemudian naik pula ke langit sampai ke Sidratul Muntaha sehingga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Selepas itu Baginda kembali semula ke Makkah. Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.
Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam.

Daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “…(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang… lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurang kan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga ting gal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: ‘Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.’” (Hadis riwayat Bukhari)

Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Ia memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda, sekali gus menjadi cerminan buat umatnya pada masa akan datang.

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit dan bumi.
Hikmah yang terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan ibadah kepada Allah.

28 September 2012

Kuiz

Adakah anda mengetahui perkara asas tentang solat fardu? Uji pengetahuan anda dengan menjawab 3 soalan di bawah. Pengunjung blog ustaz juga boleh cuba menjawabnya...

Pastikan anda "SUBMIT" jawapan anda sebelum meninggalkan blog ustaz.

Silakan menjawab.


26 September 2012

Buat pembakar semangat

Kepada anak didikku,

Kuatkan azam terus berusaha...


Ahlan Wasahlan

Assalamualaikum...

Kepada semua murid, ustaz ucapkan selamat datang ke blog Pendidikan Islam Tahun 6. Semoga blog ini memberi manfaat kepada semua anak murid ustaz.

Wassalam.

HSP Pendidikan Islam Tahun 5

Rancangan Tahunan Penggal 2 Pendidikan Islam Tahun 5

 

Mutiara Kata


Hubungi Saya

Halwa Telinga