RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Solat berjemaah lebih
afdal (utama) daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” – (Hadith
riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pemurahnya Allah SWT yang menawarkan ganjaran berlipat
kali ganda menerusi solat berjemaah untuk direbut hamba-Nya. Mukmin yang
menginsafi betapa ganjaran bernilai itu adalah antara anugerah Allah yang
terbesar, akan sentiasa menghargai dan memburu kesempatan untuk solat fardu
berjemaah khususnya di masjid, malah terlepasnya peluang solat berjemaah
dirasakannya sebagai satu kerugian.
Diriwayatkan bahawa Ubaidullah bin Umar al-Qawariri iaitu
guru kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim berkata bahawa dia (Ubaidullah) tidak
pernah ketinggalan solat Isyak berjemaah. Tetapi pada satu malam datang seorang
tetamu ke rumahnya menyebabkan dia ketinggalan berjemaah Isyak disebabkan sibuk
melayani tetamunya.
Sebaik tetamunya pulang, dia pun bergegas ke masjid di
Basrah, didapati semua orang telah menunaikan solat Isyak dan masjid telah
ditutup, lalu dia balik ke rumah dengan perasaan hampa.
Oleh kerana hadis Nabi SAW menjelaskan bahawa solat
berjemaah itu ganjarannya 27 kali ganda, maka beliau pun sembahyang Isyak 27
kali.
Beliau lalu tidur dan bermimpi seolah-olah bersama satu
kaum yang sedang mengembara dengan menunggang kuda tetapi dia tidak dapat
mengekori orang lain. Salah seorang dari mereka menoleh ke belakang kepadanya,
lalu memintanya tidak memenatkan kudanya kerana dia tidak akan mampu mengikuti
kaum itu.
Ubaidullah bertanya kenapa. Lelaki itu menjawab kerana
mereka solat Isyak berjemaah, sedangkan dia solat bersendirian (ternyata
walaupun melakukan 27 kali solat Isyak bersendirian tidak sama nilainya dengan
sekali solat Isyak berjemaah). Tidak lama kemudian Ubaidullah terjaga dalam
keadaan sedih. Lalu dia memohon pertolongan dan taufik daripada Allah SWT.
Anugerah Allah SWT terhadap orang yang solat berjemaah
bermula daripada terpautnya hati seseorang hamba Allah dengan masjid, disusuli
dengan langkahnya menuju ke masjid kerana keinginan solat berjemaah hinggalah
selesai solat dan kembali ke rumah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa ada
tujuh golongan manusia yang Allah akan tempatkan mereka di bawah naungan-Nya
pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya (pada hari kiamat).
Salah satu dari tujuh golongan berkenaan ialah lelaki (termasuk wanita) yang
hatinya (sentiasa) terikat dengan masjid.
Imam al-Nawawi ketika menafsirkan sabda Nabi SAW itu
menyatakan: “Maksudnya ialah hatinya sentiasa mengingati/merindui masjid dan
beristiqamah pergi ke masjid kerana solat berjemaah. Ia bukan bermaksud
berterusan duduk di dalam masjid.
Kelebihan yang diperoleh oleh sesiapa yang beristiqamah
ke masjid untuk solat berjemaah dikurniakan Allah kerana masjid adalah rumah
Allah. Rumah bagi setiap yang bertakwa. Adalah satu kelaziman bagi orang yang
diziarahi akan menghormati orang yang bertandang. Maka, cuba bayangkan
bagaimana penghormatan yang akan kita peroleh daripada Pencipta alam semesta
ini iaitu Allah SWT yang Maha Mulia lagi Maha Besar.
Dalam hadis lain dinyatakan bahawa Allah SWT berasa
takjub dengan solat berjemaah seperti sabda Nabi SAW: “Daripada Abdullah bin
Umar ra., katanya: Satu hari saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah takjub (kagum) dengan solat yang didirikan secara
berjemaah”. – (Hadis riwayat Ahmad).
Beruntung dan berbahagia sungguh seorang mukmin yang
melakukan amalan di mana Allah sendiri berasa kagum dan takjub terhadap amalan
berkenaan.
Dengan solat berjemaah di masjid, mudah-mudahan pelbagai
ganjaran dapat diraih Muslim, bukan cuma ganjaran 27 kali ganda, tetapi
ditambah lagi dengan kurniaan Allah yang besar lantaran memakmurkan rumah-Nya
seperti Nabi SAW bersabda: “Barang siapa pergi ke masjid pada waktu pagi atau
petang (untuk beribadah/solat berjemaah), Allah akan menyediakan untuknya satu
tempat tinggal di syurga setiap kali ia pergi pada waktu pagi atau petang
(sentiasa tersedia hal yang sama).” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid
Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam
Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdan
Sumber: http://www.bharian.com.my/articles/Solatberjemaahtawarganjaranpahalaberlipatkaliganda/Article/